Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Pusat Kegiatan Pelajar & Jaringan Komuniti (Skuad COMNET) melakukan bantuan misi pasca banjir di Kepala Batas, Kedah pada 14 hingga 15 Disember 2024.
Seramai 40 orang Skuad Comnet terdiri daripada pelajar sukarelawan telah menyertai siri Misi Pasca Banjir berikut. Program ini bertujuan untuk membantu komuniti yang terkesan akibat banjir dengan aktiviti pemulihan kawasan dan sokongan moral kepada mangsa banjir.
Misi ini merupakan program anjuran bersama Universiti Selangor (UNISEL), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kedah, dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kedah.
Menurut En. Muhammad Al Hafiz bin Abd Rahaman, Pengarah Pusat Kegiatan Pelajar & Jaringan Komuniti COMNET, penganjuran misi ini bukan sahaja memperlihatkan keprihatinan pihak universiti dan rakan kolaborasi terhadap isu kemanusiaan tetapi juga melahirkan generasi pelajar yang cakna terhadap isu masyarakat.
Tambah beliau, melalui program ini lahirnya nilai-nilai kemanusiaan, tanggungjawab sosial, dan semangat sukarelawan dalam kalangan mahasiswa. Semoga usaha ini dapat diteruskan dalam misi-misi akan datang.