Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) mengadakan program Dialog Shah Alam 2024 dengan tema ‘Transformasi Ekonomi Malaysia: Perspektif Terhadap Globalisasi dan Perkembangan Geopolitik Dalam Perdagangan Pekerjaan dan Pendidikan’ bertempat di Dewan Pro Canselor, Kampus Shah Alam.
Dialog Shah Alam yang dihadiri kira-kira 500 peserta terdiri daripada pegawai kerajaan, pengurus dari sektor korporat, ahli akademik, dan juga pelajar-pelajar universiti sekitar membawa fokus untuk memberikan kefahaman, membincangkan cabaran dan peluang mengenai ekonomi semasa, serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan inovasi, teknologi dan kestabilan kewangan dalam konteks ekonomi global.
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor dalam ucapan aluan berkata, dialog pada hari ini merupakan sebahagian daripada proses bagi membolehkan tradisi intelektual berkembang mekar di UNISEL dan di negeri Selangor.
“UNISEL juga menggalakkan beberapa kegiatan yang bersifat intelektual seperti Syarahan Siddiq Fadzil dan dalam masa yang sama sedang mengembangkan pemikiran Siddiq Fadzil, terutamanya yang berkaitan dengan Melayu dan Islam,” katanya.
Tambah beliau lagi, dialog ini juga merupakan kesinambungan kepada program-program keilmuwan lain seperti yang telah dilaksanakan di universiti ini. Ini termasuklah Syarahan Darul Ehsan, Syarahan Perdana, Syarahan Profesor, Syarahan Umum, Syarahan Budiman dan sebagainya yang bukan sahaja untuk dimanfaatkan oleh warga UNISEL, tetapi juga untuk masyarakat umum.
Segmen pertama iaitu forum bertajuk “Memperkasa Ekonomi Rakyat: Jalan Menuju Kesejahteraan Sosial” menampilkan panel Prof. Madya Dr. Hamdan Mohd Salleh, Timbalan Naib Canselor UNISEL, Prof. Dr. Norhayah Zulkifli, Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan UNISEL, Encik Jay Jay Denis, Setiausaha Akhbar Kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Encik Khairul Ariffin Mohd Munir, Pengurus Kanan IDE dan YM. Tengku Amril Nurman YM. Tengku Mohd Ariffin, Penerbit Rancangan Selangor FM sebagai moderator program.
Segmen kedua iaitu syarahan utama menampilkan Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Ibrahim, Pro-canselor UNISEL yang juga merupakan mantan Gabenor Bank Negara. Dalam syarahannya, beliau mengupas kesan globalisasi terhadap ekonomi Malaysia, perubahan dalam sektor kewangan dan impaknya ke atas perniagaan tempatan, cabaran dan peluang Malaysia dalam konteks perdagangan antarabangsa serta peranan inovasi dan teknologi dalam memperkasa ekonomi negara.
Program ini dirasmikan oleh YAB Dato Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor disaksikan YB Dato’ Salim Soib @ Hamid, Penasihat Undang-undang Negeri Selangor. Turut hadir wakil agensi kerajaan negeri dan barisan pengurusan UNISEL.
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
5 Disember 2024