Majlis Perasmian Program AI Inventor STEM Camp (SciTech4U – MOSTI) berlangsung dengan penuh meriah di Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya, menandakan permulaan sebuah inisiatif penting dalam memperkasa pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Program ini dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Pertubuhan SALWA Negeri Selangor, FCVAC UNISEL, Pejabat Parlimen Kuala Selangor dan syarikat Fibernatic.
Geran ini diberi kepada SALWA Selangor untuk dilaksanakan bersama rakan strategik Universiti Selangor. Penganjuran turut disokong oleh kolaborasi strategik bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkukuh jalinan komuniti dan akademik demi melahirkan generasi celik teknologi.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Haji Zulkifli bin Kamaruddin, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Zulkefly Ahmad. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Professor Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan bin Basri, Presiden dan Naib Canselor UNISEL yang turut menyampaikan ucapan aluan pembukaan.
Turut hadir sama ialah Dr. Nur Sumirah binti Mohd Dom, Setiausaha SALWA Selangor mewakili Ketua SALWA Negeri Selangor, Pn. Juhaini Saif; En. Muhammad bin Hashim, Timbalan Dekan Akademik FCVAC; serta Ts. Dr. Irny Suzila Ishak, Pengarah Program AI Inventor STEM Camp merangkap Exco Teras ICT dan Media SALWA Selangor.
Program yang berlangsung selama dua hari ini melibatkan lebih daripada 100 orang pelajar sekolah menengah dari tiga sekolah pinggir bandar termasuk SMK Raja Muda Musa, SMK Rantau Panjang, dan SMK Sungai Burong. Para pelajar diberi peluang meneroka dunia kecerdasan buatan melalui pelbagai aktiviti interaktif yang berteraskan STEM serta pembinaan peralatan dan inovasi teknologi yang menyokong aspirasi TVET Negeri Selangor.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam menyokong UNISEL sebagai hab ilmu dan inovasi yang bukan sahaja melahirkan graduan berdaya saing, tetapi juga membina keupayaan generasi muda untuk menghadapi masa depan digital yang kian mencabar.
Program SciTech4U – AI Inventor STEM Camp MOSTI 2025 ini diharap menjadi platform berterusan bagi memperkasa pelajar sekolah dengan kemahiran masa depan, di samping memperkukuh sinergi antara universiti, kerajaan, dan masyarakat.
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
11 November 2025