USTAZ SAMSUL DEBAT MEWARNAI PROGRAM BICARA BUDIMAN UNISEL

  • Home
  • USTAZ SAMSUL DEBAT MEWARNAI PROGRAM BICARA BUDIMAN UNISEL
Shape
USTAZ SAMSUL DEBAT MEWARNAI PROGRAM BICARA BUDIMAN UNISEL
Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Pusat Kegiatan Pelajar & Jaringan Komuniti (COMNET) serta anjuran bersama Pusat Islam UNISEL dan Pusat Informasi Islam MAIS semalam, menganjurkan Program Bicara Budiman yang berlangsung dengan penuh pengisian dan makna di Dewan Pro Canselor, Kampus Shah Alam, dengan kehadiran lebih 600 peserta terdiri daripada pelajar, staf dan komuniti luar.
 
Majlis telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Hamdan bin Dato’ Hj. Mohd Salleh, Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Jaringan Komuniti) UNISEL. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan memperkukuh nilai-nilai spiritual, etika dan sahsiah dalam kalangan mahasiswa agar mereka bukan sekadar cemerlang akademik, tetapi turut menjadi insan berakhlak dan berperanan dalam masyarakat.
 
Program kali ini menampilkan pendakwah terkenal, Ustaz Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Ustaz Samsul Debat sebagai penceramah utama yang menyampaikan perkongsian bertajuk “Hidup Biar Berkat, Bukan Sekadar Hebat”. Sesi dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Syimir bin Rosli, Pegawai Agama Pusat Islam UNISEL selaku moderator.
 
Melalui gaya penyampaian yang bersahaja dan penuh humor, Ustaz Samsul Debat berjaya menarik minat hadirin dengan mesej yang mengajak manusia mendekatkan diri kepada Allah, menjaga hubungan sesama insan, dan menekankan bahawa keberkatan hidup tidak datang daripada kemewahan semata-mata, tetapi daripada kejujuran, amanah serta tanggungjawab terhadap agama dan masyarakat.
 
Turut hadir sepanjang majlis adalah Dato’ Dr. Imran Ho bin Abdullah, Pengerusi Pusat Informasi Islam Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang turut hadir menandakan sokongan terhadap usaha UNISEL dalam memperkasa pembangunan pelajar berteraskan nilai-nilai Islam, motivasi dan komuniti.
 
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh YB Tuan Danial Al-Rashid bin Haron, Ahli Dewan Negeri DUN Batu Tiga merangkap Felo IESAD UNISEL yang menyampaikan penghargaan kepada UNISEL atas penganjuran program berbentuk keilmuan dan dakwah seperti ini. Beliau turut menzahirkan harapan agar usaha seperti ini terus diperkukuh dalam memperluas sinergi pendidikan Islam dan pembangunan masyarakat di negeri Selangor.
 
Bagi yang terlepas segmen siaran langsung, anda boleh mengikuti rakaman siarang langsung melalui pautan link berikut https://www.facebook.com/share/v/17d9R9SBqZ/
 
𝙋𝙀𝙅𝘼𝘽𝘼𝙏 𝙆𝙊𝙈𝙐𝙉𝙄𝙆𝘼𝙎𝙄 𝙆𝙊𝙍𝙋𝙊𝙍𝘼𝙏
16 OKTOBER 2025

Share This Post :

Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn