Ekspedisi penyelidikan biodiversiti menerusi Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat (FKSH) di Tasik Lindungan Burung, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya telah dilaksanakan bermula selasa lalu sebagai sebahagian daripada usaha pengumpulan data saintifik bagi menyokong pencalonan kawasan utara Selangor sebagai Sabak Bernam Biosphere Reserve (SBBR) di bawah program UNESCO Man and the Biosphere (MAB).
Program ini dijalankan melalui kerjasama antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) [MBI], Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selaku ketua penyelidik dan penulis utama dossier, bersama universiti lain antaranya USM, UKM, UPM, UPSI, UTHM, serta Universiti Selangor (UNISEL) melalui Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat (FKSH).
Ekspedisi ini memberi tumpuan kepada dua kumpulan utama fauna iaitu avifauna (burung) dan iktiofauna (ikan). Hasil yang diperoleh amat menggalakkan dengan 66 spesies avifauna direkodkan termasuk 1 spesies berstatus Near Threatened (NT) dan 1 spesies berstatus Vulnerable (VU).
Manakala 33 spesies iktiofauna dikenal pasti terdiri daripada 4 spesies asing (pendatang) dan 29 spesies asli tempatan. Ekspedisi ini bukan sahaja memperkukuh data saintifik yang diperlukan bagi penyediaan dossier Sabak Bernam Biosphere Reserve (SBBR), tetapi turut mempererat jalinan kolaborasi antara UNISEL, institusi pengajian tinggi serta agensi-agensi negeri di bawah Institut Penyelidikan Selangor (SRI).
Hasil dan pengalaman daripada aktiviti ini akan terus dimanfaatkan bagi memperkukuh kedudukan UNISEL sebagai sebuah institusi yang berperanan aktif dalam agenda kelestarian biodiversiti dan pembangunan mampan negeri Selangor.