Universiti Selangor (UNISEL) hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) dalam satu sesi perbincangan rasmi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Kualiti, Aras 2, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FPSS), Kampus Bestari Jaya.
Kunjungan yang bermula pada jam 9.45 pagi ini bertujuan membincangkan hala tuju kerjasama akademik sedia ada serta merangka Memorandum Perjanjian (MoA/MoU) baharu antara kedua-dua institusi. Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada perjanjian terdahulu yang dimeterai pada 24 Februari 2020 yang telah memberi impak positif terhadap pembangunan akademik dan pelajar kedua-dua pihak.
Kerjasama strategik yang sedang dirangka ini dijangka memperkukuh lagi hubungan antara UNISEL dan IKDAR di samping memastikan model pendidikan yang lebih inklusif, mampan dan holistik dapat dilaksanakan.
Ini juga selaras dengan aspirasi negara untuk memperluas akses pendidikan tinggi berkualiti kepada semua lapisan masyarakat, termasuk pelajar IKDAR.
Delegasi IKDAR yang diketuai oleh Dr. Muhammad Faizal bin Tahiruddin, Rektor IKDAR merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz TVET Kebangsaan. Majlis turut disertai oleh Tuan Syed Mohamad bin Syed Zakaria, Ahli Lembaga Pengarah IKDAR, bersama tujuh lagi wakil utama institusi tersebut.
Sesi perbincangan turut dihadiri oleh barisan pengurusan fakulti UNISEL yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Muhammad bin Daoh, Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FPSS), Prof. Madya Dr. Dzulkainain bin Ahmad, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat (FKSH), Cik Na-Thinamalar Magiswary Nadarajan, Timbalan Dekan Akademik FPSS, serta Dr. Noor Fadhzana binti Mohd Noor, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah FPSS.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran kepimpinan tertinggi UNISEL iaitu Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan bin Basri, Presiden & Naib Canselor UNISEL. UNISEL menzahirkan komitmen untuk terus memperkasa jalinan strategik bersama IKDAR sejajar dengan visi universiti sebagai peneraju pendidikan berteraskan pembangunan insan yang menyeluruh.