MISI BANTUAN PASCABANJIR SKUAD SUKARELAWAN COMNET DITERUSKAN DI KAMPUNG PARIT MAHANG

  • Home
  • MISI BANTUAN PASCABANJIR SKUAD SUKARELAWAN COMNET DITERUSKAN DI KAMPUNG PARIT MAHANG
Shape
MISI BANTUAN PASCABANJIR SKUAD SUKARELAWAN COMNET DITERUSKAN DI KAMPUNG PARIT MAHANG
Misi bantuan pascabanjir anjuran Skuad Sukarelawan Pusat Kegiatan Pelajar dan Jaringan Komuniti COMNET, Universiti Selangor (UNISEL) terus diperluas dalam usaha membantu komuniti yang terkesan. Selepas turun padang di Padang Jawa, Shah Alam sebelum ini, pasukan sukarelawan kini bergerak ke lokasi seterusnya iaitu Kampung Parit Mahang, Ijok.
 
Lebih 100 orang pelajar UNISEL bersama turun bergotong-royong diketuai oleh En. Al-Hafız Abd Rahaman, Pengarah COMNET dalam membersihkan rumah penduduk, surau serta kawasan komuniti yang terjejas akibat banjir. Semangat kesukarelawanan dan kerja berpasukan jelas terpancar sepanjang misi berlangsung.
 
Turut hadir memberi sokongan ialah Prof. Madya Dr. Hamdan Bin Dato’ Hj. Mohd Salleh, Timbalan Naib Canselor UNISEL. Beliau menyifatkan usaha ini sebagai manifestasi tanggungjawab sosial universiti dalam membentuk mahasiswa yang berjiwa rakyat dan peka terhadap isu kemanusiaan. Menurut beliau, kehadiran sukarelawan muda ini bukan sahaja meringankan beban penduduk, malah mengukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.
 
Penghargaan turut dirakamkan kepada Tn. Haji Maskor, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Selangor; para Ahli Majlis, pasukan Selangor, pasukan HEP UNISEL, serta semua rakan kolaborasi yang bersama-sama menjayakan misi ini. Sumbangan tenaga, masa, dan koordinasi semua pihak menjadi pemangkin utama kelancaran operasi bantuan.
Semoga usaha berterusan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawanan, serta menjadi bukti bahawa UNISEL sentiasa komited menyantuni masyarakat dan hadir ketika diperlukan.
 
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
2 Disember 2025

Share This Post :

Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn