Satu Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) Strategik telah berlangsung dengan penuh bersejarah di Loji Rawatan Air Langat 2, membabitkan kerjasama antara Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Central Spectrum (M) Sdn Bhd, Universiti Selangor (UNISEL) dan Selangor Technical Development Centre (STDC).
Majlis yang diadakan bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara sektor industri dan akademik dalam membangunkan kemahiran tenaga kerja serta teknologi berkaitan pengurusan air dan utiliti di Selangor.
Ucaptama disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor yang menegaskan betapa pentingnya kerjasama strategik ini dalam memastikan Selangor terus ke hadapan dalam aspek pembangunan lestari, inovasi teknologi air dan kelestarian sumber.
Menurut beliau, “MoC ini bukan sekadar perjanjian di atas kertas, tetapi satu komitmen jangka panjang untuk membentuk ekosistem pembangunan modal insan yang menyokong hala tuju negeri maju dan mampan.”
Timbalan Naib Canselor UNISEL, Prof. Madya Dr. Hamdan Dato’ Mohd Salleh berkata, “UNISEL komited untuk menyokong usaha Air Selangor dalam memperkasa kompetensi tenaga kerja industri air menerusi kepakaran akademik dan fasiliti latihan kami. Kerjasama ini juga memberi manfaat kepada pelajar dalam mendapatkan pengalaman industri sebenar.”
Bagi pihak UNISEL, MoC telah ditandatangani oleh Prof. Madya Dr. Hamdan bin Dato’ Hj. Mohd Salleh, Timbalan Naib Canselor UNISEL dan disaksikan oleh Prof. Madya Dr. Dzulkarnain, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat. Manakala pihak Air Selangor pula ditandangani oleh Encik Adam Saffian bin Ghazali, Ketua Pegawai Air Selangor dan disaksikan oleh Pn. Asrina binti Shariff, Ketua Jabatan Sumber Manusia Air Selangor. Turut serta dalam majlis tersebut ialah wakil-wakil dari UNISEL, Central Spectrum dan STDC.
Majlis disusuli dengan sesi lawatan ke fasiliti Loji Rawatan Air Langat 2, memberikan para delegasi gambaran jelas tentang operasi rawatan air berskala besar serta teknologi yang digunakan dalam memastikan bekalan air bersih dan berkualiti untuk rakyat Selangor.
MoC ini dijangka menjadi platform kukuh dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan inovatif serta memperkukuh kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan tinggi di negeri ini.