LAWATAN JPK-SEJAHTERA & JP-ABAS KE UNISEL KAMPUS BESTARI JAYA PERKUKUH HALATUJU UNIVERSITI

  • Home
  • LAWATAN JPK-SEJAHTERA & JP-ABAS KE UNISEL KAMPUS BESTARI JAYA PERKUKUH HALATUJU UNIVERSITI
Shape
LAWATAN JPK-SEJAHTERA & JP-ABAS KE UNISEL KAMPUS BESTARI JAYA PERKUKUH HALATUJU UNIVERSITI
Universiti Selangor (UNISEL) hari ini menerima Lawatan Rasmi Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negeri Selangor (DUN Selangor) ke Kampus Bestari Jaya, sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik serta mendapatkan gambaran menyeluruh berkaitan pembangunan institusi pendidikan tinggi milik Kerajaan Negeri Selangor.
 
Lawatan ini melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Perubahan Iklim, Kebajikan, Kesihatan, Pendidikan, Pembangunan Keluarga, Agama dan Wanita serta Kesejahteraan Hidup (JPK-SEJAHTERA) bersama Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS).
Majlis dimulakan dengan sesi mesyuarat dan pembentangan komprehensif oleh Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri, yang menekankan hala tuju strategik universiti, peranan UNISEL dalam melahirkan modal insan berkualiti serta komitmen berterusan universiti terhadap agenda kesejahteraan, pendidikan inklusif dan pembangunan lestari selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor.
 
Sesi pembentangan tersebut turut menjadi platform perbincangan dua hala bersama barisan Ahli Yang Berhormat Jawatankuasa Pilihan Khas, merangkumi isu-isu berkaitan tadbir urus, kebajikan warga kampus, pembangunan akademik serta potensi penambahbaikan bagi memperkasa peranan UNISEL sebagai institusi pendidikan tinggi yang memberi impak kepada rakyat Selangor.
 
Lawatan diteruskan dengan sesi jamuan makan tengah hari sebelum delegasi dibawa melawat fasiliti utama kampus termasuk Kolej Kediaman, fakulti-fakulti akademik serta Stadium UNISEL, bagi memberikan pendedahan secara langsung terhadap kemudahan dan persekitaran pembelajaran yang disediakan kepada para pelajar.
 
Lawatan ini diharapkan dapat memperkukuh kefahaman serta sokongan berterusan pihak pembuat dasar terhadap pembangunan UNISEL, sekali gus menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berjiwa rakyat.
 
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
19 Januari 2026

Share This Post :

Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn