LAWATAN AKADEMIK UNISEL KE CYBERSECURITY MALAYSIA

  • Home
  • LAWATAN AKADEMIK UNISEL KE CYBERSECURITY MALAYSIA
Shape
LAWATAN AKADEMIK UNISEL KE CYBERSECURITY MALAYSIA
Universiti Selangor (UNISEL) hari ini mengadakan lawatan akademik ke CyberSecurity Malaysia bersempena sesi lawatan serta perbincangan strategik berkaitan pembangunan akademik dan latihan dalam bidang keselamatan siber.
 
Delegasi UNISEL diketuai oleh Y.A.D Engku Sri Paduka Diraja Raja Dato’ Reza Alhaj bin Raja Dato’ Zaib Shah Alhaj, Pro-Canselor UNISEL, bersama Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri. Ketibaan delegasi disambut mesra oleh barisan pengurusan tertinggi CyberSecurity Malaysia yang diketuai oleh Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin bin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia.
Lawatan ini mencerminkan komitmen UNISEL dalam membina kerjasama strategik dan jangka panjang bersama CyberSecurity Malaysia, khususnya dalam memperkukuh ekosistem pendidikan dan latihan keselamatan siber di negara ini.
 
Kepakaran serta pengalaman luas CyberSecurity Malaysia dilihat mampu menyokong usaha UNISEL melalui pelbagai inisiatif termasuk latihan profesional, pembangunan modul akademik, pensijilan industri, serta peluang pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar untuk para pelajar dan pensyarah.
 
Sepanjang lawatan, delegasi UNISEL turut dibawa melawat beberapa makmal utama yang memainkan peranan penting dalam ekosistem keselamatan siber negara, antaranya Digital Forensic Lab, CSM Cryptographic Evaluation Lab (MyCEL), Cyberklinik, serta beberapa fasiliti berteknologi tinggi yang lain. Kecanggihan infrastruktur serta tahap profesionalisme CyberSecurity Malaysia ini turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
 
Kerjasama strategik antara UNISEL dan CyberSecurity Malaysia diyakini mampu menjadi platform penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing dan bersedia untuk pasaran kerja, malah berupaya memimpin serta menyumbang secara signifikan kepada keselamatan digital dan pembangunan teknologi negara.
 
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
15 Disember 2025

Share This Post :

Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn