KEKURANGAN BUKAN HALANGAN:PELAJAR OKU CEKAL SAMBUNG BELAJAR

  • Home
  • KEKURANGAN BUKAN HALANGAN:PELAJAR OKU CEKAL SAMBUNG BELAJAR
Shape
KEKURANGAN BUKAN HALANGAN:PELAJAR OKU CEKAL SAMBUNG BELAJAR
Suasana penuh semangat dan harapan jelas terpancar di wajah para pelajar baharu yang hadir mendaftar bagi sesi kemasukan Ogos 2025 di Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya hari ini, termasuk seorang pelajar istimewa, Qayyim Afiq Bin Ahmad, 18, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal.
 
Walaupun dikategorikan sebagai golongan kelainan upaya, Qayyim tetap tabah hadir bersama keluarganya untuk mendaftar dalam program Asasi Teknologi Maklumat (IT), salah satu daripada enam program Tahun Asas yang ditawarkan oleh UNISEL, termasuk Asasi Sains, TESL, Pengurusan, Pengajian Islam dan Sastera.
 
“Saya tahu perjalanan ini tidak mudah, tetapi saya yakin dengan semangat dan sokongan yang ada, saya boleh melangkah jauh. Saya ingin buktikan bahawa kekurangan fizikal bukan alasan untuk gagal,” kata Qayyim dengan penuh keyakinan. Kisah Qayyim mencerminkan pepatah lama, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” yang nyata masih relevan dalam dunia pendidikan hari ini.
Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti UNISEL, Prof. Madya Dr. Hamdan bin Dato’ Mohd Salleh berkata Universiti Selangor (UNISEL) Sebagai universiti milik penuh kerajaan negeri yang menjunjung prinsip Malaysia Madani dan agenda Negara Rahmah, UNISEL telah memperkenalkan pelbagai inisiatif sokongan untuk memastikan mahasiswa OKU diberi ruang untuk berkembang mengikut potensi masing-masing.
 
“UNISEL percaya bahawa pendidikan yang inklusif bukan sekadar menyediakan tempat, tetapi membina ekosistem yang memahami, menyantuni dan meraikan kepelbagaian.” katanya.
 
Antara bantuan yang ditawarkan termasuk Skim Biasiswa Program Asas, BAYU untuk anak Selangor yang layak, serta tajaan YUSEL RM100 bantuan yuran pendaftaran kepada semua pelajar yang mendaftar pada pengambilan Ogos 2025. Bantuan ini bertujuan meringankan beban kewangan para pelajar, terutamanya dari keluarga berpendapatan rendah.
 
Sesi pendaftaran kali ini menyaksikan kehadiran pelajar baharu dari seluruh negeri memulakan langkah pertama mereka dalam dunia pengajian tinggi. Para pelajar Tahun Asas ini akan mengikuti Minggu Tekad Siswa sebelum memulakan kuliah rasmi pada minggu hadapan. Walau bagaimanapun, pelajar yang masih berminat bagi Program Tahun Asas boleh membuat permohonan sehingga akhir bulan Ogos ini di apply.unisel.edu.my.
 
Kemasukan seterusnya bagi peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda adalah pada 28 Ogos 2025. Sebarang maklumat lanjut boleh layari laman sesawang rasmi Universiti Selangor di www.unisel.edu.my atau berhubung terus dengan Pejabat Pemasaran & Kemasukan di talian 03-3280 5062 (Bestari Jaya) & 03-5522 3400 (Shah Alam).
 
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
7 Ogos 2025

Share This Post :

Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn